Sekadar Hiburan untuk Korang Semua ...
Tuk! Tuk! Tuk! Kedengaran pintu bilikku diketuk. Siapa pula ni?
“Fea, keluar kejap. Abang ada hal nak bincang,” Luqman bersuara di balik pintu.
Hisy abang ni. Bukan nak bagi aku masa rehat. Sudahlah kepalaku pening memikirkan masalahku yang melanda ini. Dia nak tambah masalah pula. Opss! Tapi apa yang hendak dibincangkannya itu? Buat andaian melulu pula aku ni. Hehe …
Aku masuk ke bilik air sebentar untuk membersihkan diri. Kemudian, tudung bawal berwarna putih aku ambil di dalam almari untuk dikenakan di atas kepala dan dipinkan satu di bawah daguku sebelum keluar. Luqman, aku lihat sedang menantiku di taman berhampiran kolam ikan.
“Ada apa, abang?” Aku menyoal sambil melabuhkan punggung berhadapan dengannya.
“Fea dah buat keputusan? I hope it’s positive.”
Aku melepaskan keluhan. “Fea tak tahu nak buat apa, abang. Get married at 18? I never think about it before. Fea belum habis belajar pun. Abang faham maksud Fea kan.” Panjang lebar aku menjelaskan.
Sudah hampir dua bulan bapaku, Dato’ Hashim dan ibu tiriku, Datin Sarah kembali ke rahmatullah akibat terlibat dalam suatu kemalangan jalan raya yang begitu tragis. Semalam, Encik Ahmad selaku peguam arwah papa datang ke rumah bagi membacakan wasiat yang telah disediakan papa beberapa tahun yang lalu. Tidakku sangka, papa telah menyediakannya memandangkan papa tidak pernah menyebut tentang itu selama ini. Yang paling mengejutkan aku dan Luqman, papa meletakkan nama Luqman sebagai pengarah syarikat hanya setelah dia sah bergelar suamiku dalam masa sebulan. Sekiranya tidak, HS Holdings akan menjadi milik pihak Kebajikan Masyarakat secara automatik.
“Abang tahu semua tu. Tapi, kita takde pilihan sekarang ni. Fea sanggup tengok syarikat arwah papa Fea jadi milik orang lain? Fea sendiri tahu kan betapa susahnya arwah bangunkan syarikat tu,” terang Luqman.
Betul semua kata Luqman itu. Walaupun masih kecil, aku melihat sendiri kesusahan yang dilalui arwah papa demi membangunkan syarikatnya. Tergamakkah aku melepaskan segala penat lelah papa selama ini begitu sahaja? Hmm … Oleh sebab papa bukan daripada keluarga yang berada, mama meminta cerai daripada papa setelah sebulan aku dilahirkan. Katanya, dia tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan yang serba kekurangan. Pelik juga aku rasakan. Bagaimana mama dan papa boleh berkahwin sekiranya perkara ini yang terjadi. Namun, kata papa semuanya takdir Allah SWT. Jodohnya dengan mama tidak panjang. Kemudian, papa berkahwin dengan Auntie Sarah. Auntie Sarahlah insan yang paling banyak membantu papa tidak kira dalam urusan perniagaan mahu pun kehidupan peribadi. Dia seorang yang baik, sentiasa melayanku dengan ramah mesra. Daripada dialah aku mendapat kasih sayang seorang ibu.
“Fea dengar tak abang cakap ni?”
Aku tersentak. Sudah jauh aku mengelamun rupanya. Aku memandang Luqman sekilas. ‘Nak kahwin dengan mamat ni? Biar betul! Tapi aku dah anggap dia macam abang aku sendiri. Opss! Belum cuba, belum tahu.’
“Fea setuju tapi dengan syarat. Boleh?” Aku bertanya.
“Apa?” Luqman menyoal kembali sambil tersenyum. ‘Nak kahwin pun ada syarat-syarat.’ Gumamnya dalam hati.
“Kita kahwin tapi takde apa-apa yang berubah. Fea tetap nak further study ke oversea dalam course yang Fea suka. Boleh?”
“Okey. Kalau itu yang Fea mahukan, abang tak kisah. Abang ikut je.”
“And one more thing, … erm … erm … bilik kita …” Malunya aku untuk meneruskan kata. Aku lihat Luqman sedang merenungku. Keningnya sedikit diangkat. Mungkin menunggu kata-kataku yang tergantung. ‘Hisy … Takkan tak faham kot?’ aku menarik muka masam.
“Sayang nak bilik kita asing-asing? Okey. Abang faham kalau Fea belum ready lagi. Kan senang kalau berterus-terang dari tadi. Ini tak, abang juga yang kena sambung.” Luqman berkata sebelum ketawa.
Terkejut aku dengan kata-katanya itu. ‘Takpe kahwin macam tu?’ Wajahku dapatku rasakan menjadi panas. Mesti merah! Angin takde, ribut takde, tiba-tiba panggil aku sayang pula? Hisy … Seramnya. Alahai, macam manalah agaknya selepas kahwin nanti?
......................................................................................................... ................
“Aku terima nikahnya Sofea Nadyra Dato’ Hashim dengan mas kahwin RM120.00 tunai.”
Hanya dengan sekali lafaz, aku kini telah sah bergelar isteri kepada Luqman Iskandar Kamaruddin, seorang lelaki yang selama ini telahku anggap sebagai abang kandungku. Luqman adalah anak saudara arwah Auntie Sarah yang telah kehilangan ibu bapanya sejak dia masih kecil. Setelah itu, arwah papa dan Auntie Sarahlah yang menyara Luqman.
Saat mendengarkan bicara Luqman melafazkan akad, tidak semena-mena air mataku menitis. Sayu hatiku ketika itu. Mungkin inilah yang dirasakan oleh semua wanita tatkala menjadi milik jejaka yang dicintai. Air mata kegembiraan! Adakah aku juga begitu?
Selesai berdoa, Luqman sempat menunaikan solat sunat sebelum upacara pembatalan air sembahyang. Rakan baikku di sekolah, Farah turut menemaniku ketika itu.
“Nadyra, handsome betullah ‘abang’ kau ni. Kan ke bagus kalau dari dahulu lagi aku perasan. Mana tahu, dia jadi suami aku ke. Hehe …” Farah berbisik kepadaku sambil mengenyitkan matanya.
Aku sekadar tersenyum.
“Aik? Tak jealous ke aku cakap macam tu? Apalah kau ni.” Sekali lagi Farah bersuara. Kali ini suaranya sedikit kuat namun masih dikawal. Bimbang tetamu lain salah faham pula.
Aku tahu Farah sebenarnya hanya mahu mengusikku. Sememangnya Farah mengetahui perkara sebenar yang menjadikan aku isteri kepada Luqman. Dialah satu-satunya sahabat yang paling rapat denganku sejak kami di bangku sekolah lagi.
“Malas aku nak layan kau ni. Kalau nak sangat, ambillah,” aku menjawab selamba sambil menahan tawa.
“Wei, kau …”
Farah tidak jadi menjawab apabila kelihatan susuk tubuh Luqman di muka pintu bilik ditemani Zafyr, rakan baiknya dan beberapa orang lain. Luqman mendekati lalu menyarungkan sebentuk cincin di jari manisku. Aku hanya menunduk. Kemudian, tangannya aku salam lalu dicium. Pertama kali aku bersentuhan dengannya, aku berasakan diri ini dilindungi. Tangan kanannya memegang daguku, mendongakkan sedikit kepalaku. Dia mengukirkan senyuman paling manisku rasakan. ‘Hisy … Ada-ada sahaja aku ni. Memang dari dahulu lagi muka abang manis.’ Namun, pelik sedikitku rasakan kini. Dup … Dap … Dup … Dap … Huhu … Mungkin kerana dia sudah bergelar suamiku. Luqman mendekatkan mukanya di kepalaku lalu mengucup ubun-ubunku. Lama. ‘Apa abang ni? Sikit-sikit cukup. Dahlah ada orang lagi. Malunya.’
“Ehem … ehem …” Suara Zafyr mengejutkan kami. Luqman kelihatan sedikit tersentak. Kemudian, barulah Luqman menjarakkan dirinya daripadaku. Aku pula tersipu-sipu malu.
“Kalau ya pun, sabar-sabarlah sikit. Tunggu malam ke. Confirm takde yang mengganggu,” Zafyr masih lagi mengusik. Tetamu-tetamu yang lain hanya tersenyum.
Terdengar Zafyr menyeringai kesakitan, aku angkat muka. Rupa-rupanya Luqman mencubit lengannya. Mungkin geram kerana mengusiknya tadi. ‘Tapi, memang salah abang pun. Dah tahu ada orang, yang cium aku lama-lama tu kenapa. Hisy …’ Gumamku dalam hati.
Majlis perkahwinan kami diadakan secara bersederhana sahaja. Kalau ikut aku, hanya majlis pernikahan sahaja yang ingin diadakan. Walau bagaimanapun, memandangkan Maksu Laila beria-ia menyuruh mengadakan majlis persandingan, aku turutkan jua. Luqman pula tidak pernah membantah apa-apa sahaja permintaanku. Mungkin dia memahami keadaanku yang terpaksa menyetujui perkahwinan ini. Sedikit sebanyak aku kagum dengan sikapnya itu. Demi papa, Luqman sanggup mengenepikan soal hidupnya dan berkahwin denganku. ‘Abang sudah ada kekasihkah sebelum ini?’ Detikku dalam hati.
......................................................................................................... ................
Selesai makan malam, aku dan Luqman ditemani Maksu Laila dan suaminya serta dua orang anak lelakinya yang masih kanak-kanak membuka hadiah. Kulihat Adam dan Azman begitu gembira membuka balutan hadiah sambil diusik Luqman. Melihat telatah mereka itu, aku menjadi lebih terhibur. Aku juga sudah maklum akan hal itu. Memang selama ini Luqman amat menyukai kanak-kanak. Oleh itu, dia sering menghabiskan masanya di rumah anak yatim Seri Anggerik sekiranya ada masa terluang. Pernah sekali aku menemaninya ke sana.
“Fea letih, ya?” Aku tersentak. Kedengaran suara Luqman begitu hampir dengan telingaku.
Aku memandangnya dan mengukirkan senyuman. “Sikitlah.”
“Iskandar, bawalah isteri kamu tidur. Lagipun, dah lewat ni. Esok sajalah sambung buka hadiah tu,” Maksu Laila mencadangkan.
Luqman mengangguk. “Jomlah Fea. Kalau Fea tertidur di sini, abang pula yang kena angkat nanti,” selamba Luqman bertutur.
“Apalah abang ni. Kalau Fea tertidur pun, bukannya nak suruh abang angkat.” Selepas berkata, aku terus mengangkat punggung.
Di kamar tidur …
Belum sempat aku melelapkan mata, pintu dikuak. ‘Siapa masuk bilik aku ni?’ Serta-merta aku mencelikkan anak mata. ‘Abang.’ Aku terus duduk. Tudung bawalku yang berada di atas meja, kusarungkan menutupi rambutku. Kulihat Luqman mengambil sehelai T-shirt berwarna putih dari dalam almari lalu menuju ke bilik air.
Hampir sepuluh minit menanti, akhirnya Luqman keluar. Melihat Luqman yang hanya memakai kain pelekat dan berbaju putih, mendebarkan aku. Lebih mengejutkan, dia duduk di sebelahku. Rapat. ‘Hisy … Abang ni nak apa? Buat benda tak senonoh, aku jerit kang.’
Seakan mengetahui perasaanku itu, Luqman menjarakkan sedikit kedudukannya. Kemudian, dia memandangku. Aku hanya menunduk. Tidak tahu bagaimana untuk bertentang mata dengannya sebagai suamiku.
“Tadi Fea kata letih. Kenapa tak tidur lagi? Tunggu abang, ya.”
Tiada respon.
“Abang betul-betul tak sangka, sekarang ni Fea dah jadi isteri abang, kan.”
Senyap lagi.
“Sayang, kenapa ni?” Luqman bersuara lagi.
Kali ini, dia memalingkan tubuhku agar menghadapnya. Lambat-lambat, aku angkat muka. Ketika itu, wajahku sudah basah dengan air mata.
“Abang, Fea takut. Fea …”
“Syhh … Sayang takut apa ni, hmm?” Lembut Luqman bertanya.
“Abang, Fea minta maaf. Fea tak ready lagi nak jalankan tanggujawab Fea sebagai isteri abang. Maafkan Fea, bang.” Tersedu sedan aku bersuara.
“Kan abang dah cakap hari tu, abang tak kisah. Abang akan tunggu sampai sayang terima abang dalam erti kata yang sebenarnya,” Luqman menjelaskan kepadaku. Tenang sungguh dia berbicara.
“Habis tu, kenapa abang masuk bilik Fea ni?” seperti orang bodoh, aku bertanya kepada Luqman. Air mata yang masih bersisa, aku seka sepintas lalu.
Namun, Luqman tidak memberikan sebarang jawapan. Dia leka merenung wajahku.
“Abang, Fea tanya abang ni,” aku menyedarkannya.
Sempat Luqman melepaskan keluhan sebelum berkata-kata.
“Kan Maksu ada lagi di rumah kita. Apa kata Maksu nanti kalau tahu kita tak tidur sekali? Atau sayang tak kisah kena bebel dengan Maksu nanti? Sayang bukan tak kenal Maksu, kan,” Panjang lebar Luqman memberitahu.
Ya tak ya juga. Macam manalah aku boleh tak ingat akan Maksu. Kalaulah Maksu tahu perkara sebenarnya tentang aku dan Luqman, mesti teruk kami dikerjakannya. Sudah berkahwin tidur asing-asing? Kahwin jenis apakah ini? Namun, aku betul-betul masih tidak bersedia untuk menghadapinya. ‘Abang, berilah Fea masa, ya.’ Detik benakku.
Aku memalingkan muka ke arah Luqman. Tergelak sendirian mengenangkan sikapku sebentar tadi.
“Oh, sebab tulah sayang menangis tadi, ya. Takut rupanya.”
Lambat-lambat, aku mengangguk. Oh malunya. Merona merah mukaku tatkala itu.
“Tapi kalau takde Maksu sekalipun, abang boleh tidur dalam bilik ni, kan. You’re totally mine now.” Ketika menuturkan ayatnya yang terakhir, seakan-akan Luqman sedang berbisik di telingaku. Aku sendiri tidak berani mengangkat muka kerana aku yakin muka kami akan bersentuhan.
“Abang dah janji …” sayu kembali suaraku.
Mendengarkan suaraku yang sebegitu, tiba-tiba aku terasa Luqman memegang jari-jemariku. Dia menggenggamnya erat sebelum membawa ke bibirnya. Sungguh, aku terharu dengan tindakannya. Namun, untuk menerimanya sebagai suami, aku masih keliru.
“Sayang kenal abang, kan. I always keep my promises before. The same thing happens here. Abang tak nak sayang susah hati disebabkan perkahwinan kita ni. Yang penting, sayang bahagia. Sebab, bila sayang bahagia, abang akan gembira juga.” Jauh meresap dalam jiwaku apabila mendengar tutur kata Luqman itu.
Ya Allah! Aku bersyukur kerana Engkau telah mengurniakan seorang lelaki yang cukup baik untuk menjadi teman dalam hidupku ini.
“Terima kasih, abang.” Hanya itu yang mampu aku ucapkan kepadanya.
“Dah, cepatlah tidur. Dah malam ni.” Luqman mencadangkan.
Aku yang sememangnya telah mengantuk, terus membaringkan diri. Luqman masih di sisi. Kemudian, dia menarik selimutku sehingga ke dada lalu merapatkan wajahnya ke wajahku dan mencium dahiku. Aku yang terkedu, hanya mendiamkan diri. Tidak tahu untuk berkata apa.
“Goodnight!”
Luqman mengambil bantalnya lalu direbahkan tubuhnya di atas sofa bertentangan dengan katilku. Tidak tahu pada pukul berapa, aku akhirnya tertidur.
......................................................................................................... ................
Seakan-akan terasa sesuatu berjalan-jalan di atas mukaku, aku terus mengerutkan dahi. Namun, mataku masih berat untuk dibuka. Beberapa ketika masih dalam situasi yang sama, aku menguatkan diri untuk membuka mata. Alangkah terkejutnya aku melihat wajah Luqman begitu dekat dengan wajahku. Anak mataku bulat memandangnya.
Luqman pula, hanya tersenyum sambil tangan kanannya menghentikan usapan di pipiku. “Bangunlah. Dah subuh. Kita solat jemaah, ya. Abang tunggu sayang.”
Usai aku membersihkan diri, aku lihat dua helai sejadah sudah terbentang. Kami menunaikan solat subuh setelah aku siap memakai telekung. Pertama kali solat berjemaah bersama seorang lelaki bernama suami, begitu tersentuh hatiku. Lebih-lebih lagi tatkala Luqman mengaminkan doa agar kehidupan kami diberkati Allah SWT serta dikurniakan zuriat yang soleh. Hampir menitis air mataku mendengar ucapannya itu. Begitu tinggi harapannya terhadap perkahwinan ini.
Selesai aku melipat telekung, aku bercadang untuk turun ke bawah untuk membantu Maksu Laila menyediakan sarapan. Belum sempat aku melangkah, Luqman memegang tanganku. Aku terkaku.
“Duduk sini kejap. Abang nak cakap sikit,” Luqman berkata sambil menepuk tilam di sebelahnya, mengisyaratkan aku duduk di situ.
“Apa?” Sepatah aku bertanya.
“Sayang dah semakin senyaplah sekarang. Kalau dulu, pantang jumpa abang ada je benda nak cakap. Mulut tu tak reti nak diam, macam radio. Kenapa sekarang dah berubah, ya?”
“Takdelah, abang. Fea biasa je. Abang yang rasa macam tu kot,” Sambil tersenyum, aku menuturkannya.
Sebenarnya, aku malu dengan Luqman kerana peristiwa pagi tadi. Entah sudah berapa lama dia merenung wajahku yang sedang tidur, tidak pula aku sedari. ‘Macam manalah aku boleh tak sedar entah. Hisy.’
“Sayang malu sebab pagi tadi, ya.”
Mendengarkan itu, aku terus tersentak. ‘Abang ni pakai ilmu apa ya. Macam tahu-tahu je apa yang aku fikir.’
“Abang tak perlu guna ilmu apa-apa pun. Sayang kan isteri abang. Mestilah abang tahu. Lagipun, mata sayang tu dah menunjukkan segala-galanya,” selamba Luqman berkata.
“Yalah, yalah. Maknanya, abang dah tahulah kan. Fea nak turun bawah ni, tolong Maksu. Nanti abang turun, ya,” aku memesannya.
Luqman mengangguk sambil mengekori langkahku dengan matanya.
Di dapur …
“Selamat pagi , Maksu,” aku menyapa sambil menarik kerusi di meja makan, tempat untuk menyediakan bahan-bahan masakan.
“Selamat pagi, Dyra. Eh, awal Dyra bangun. Mana Iskandar?”
“Abang Is ada di atas. Maaf, Maksu. Lambat pula Dyra turun. Hehe … Ada apa-apa yang Dyra boleh bantu?” Aku bertanya sopan.
“Tinggal nak makan je lagi ni ha. Takpe, Makjah tolong Maksu tadi. Lagipun, Maksu faham, pengantin barulah katakan,” sambil tersenyum Maksu Laila menuturkannya.
“Ha’ah, Maksu. Tadi pun Is yang beria-ia suruh Fea turun bawah ni. Fea kata, tak puas bermanja dengan Is lagilah. Kan sayang?” Luqman yang entah bila berada di dapur berkata begitu.
“Eh, abang jangan nak reka cerita okey. Mana ada Fea cakap macam tu. Abang tu yang …”
Kata-kataku terhenti apabila terasa Luqman memeluk pinggangku dari belakang.
“Abang buat apa?” Begitu lembut Luqman bertanya. Dagunya perlahan-lahan diletakkan di atas bahuku. Nasib baik Maksu Laila sudah menghilang di meja makan.
Aku tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaannya. Bukan apa, Luqman versi romantik sering kali membuatkan dadaku berdebar-debar sehingga kelu lidah untuk bersuara.
“Eh, eh. Abang Is peluk Kak Dyra la, ibu,” petah suara Adam dari arah pintu dapur.
Serta-merta Luqman meleraikan pelukan. Aku pula terus memalingkan wajah. Malunya tidak terkira.
Maksu Laila yang berada di belakang Adam hanya mampu menggelengkan kepala.
“ Ni siapa yang tak puas bermanja sebenarnya ni, Is, Dyra?” Maksu Laila bertanya sambil mendukung Adam.
“Abang Is nilah, Maksu. Dari tadi asyik ganggu Dyra je. Takde kerja kot,” selamba aku bertutur sambil mengangkat sedulang minuman untuk dibawa ke meja makan.
“Laa … Abang cuma nak hilangkan rindu sayang pada abang je. Takkan itu pun salah,” tenang Luqman bersuara. Tiada riak bersalah langsung walaupun sebenarnya dia yang mereka-reka cerita.
Aku menarik muka masam. Geramnya. ‘Inikah suamiku? Lain macam betul pagi ni.’
“Okay, okay. Abang main-main jelah, sayang. Jom kita makan, ya.” Serentak itu, Luqman mengambil dulang di tanganku lalu dibawanya ke meja makan. Aku hanya membuntuti langkahnya.
......................................................................................................... ................
Hari Keputusan SPM 2011 diumumkan …
“Nadyra, kau datang dengan siapa? Mana suami kau?” laju Farah menyoal ketika dia melihat kelibat aku tiba di hadapan pagar sekolah dengan menaiki sebuah teksi.
Aku berjalan menghampirinya, “Dia ada urgent meeting dengan client pagi ni. Kau ni kalau tak bercakap kuat-kuat, tak boleh ke? Nak bagi satu sekolah tahu yang aku dah kahwin?” Sempat aku meluahkan ketidakpuasan hatiku tatkala itu.
Sebenarnya, aku bukan kisah sangat dengan volume suara Farah itu. Tapi aku sedikit terkilan kerana Luqman tidak dapat berada di sisiku ketika ini. Walaupun aku masih belum menerimanya sebagai suamiku dalam erti kata yang sebenar, namun jauh di sudut hati aku mahu dia sentiasa ada bersamaku.
“Ya … Ya … Patik minta ampun, tuan puteri. Ops! Mana jadi puteri lagi dah, tapi permaisuri,” kata Farah.
Aku terus mencubit sayang lengan kanan Farah. Sedikit terhibur dengan tutur katanya sebentar tadi. Sememangnya Farah juga tidak tahu akan hal sebenar yang berlaku dalam rumah tangga aku dan Luqman. Walaupun Farah ialah kawan baik aku, namun aku sama sekali tidak menceritakan hal sebegitu kepadanya. Maruah suamiku harusku jaga. Suami? Ya, abang dah jadi suami aku …
Tanpa berlengah, aku dan Farah terus melangkah dalam pekarangan sekolah kami. Terasa terubat rindu kami kepada sekolah yang tercinta ini. Kelihatan rakan-rakan sekelasku yang lain sedang berada di kantin sekolah. Ada yang berwajah ceria, tidak kurang juga yang sedang berduka. Melihatkan keadaan itu, aku menjadi semakin berdebar-debar. ‘Bagaimanakah keputusan aku?’
“Tahniah, Nadyra. Awak mendapat keputusan yang sangat baik,” ucap Cikgu Khairul ketika beliau menghulurkan slip peperiksaan aku.
11A+? Alhamdulillah … akhirnya impian aku tercapai. Speechless! Dengan segera, aku meminta diri kepada Cikgu Khairul selepas mengucapkan terima kasih kepadanya. Aku bercadang untuk menghubungi Luqman serta-merta.
“Nadyra, selepas ni sila ke kawasan letak kereta guru. Ada orang nak jumpa awak di sana,” pesan Cikgu Khairul sejurus aku mahu memulas tombol pintu.
Aku mengerutkan dahiku sedikit. Malas untuk bertanya, aku hanya mengangguk dengan kata-katanya.
Di kawasan letak kereta …
Aku melilau-lilau mencari kelibat orang. Kemudian, aku ternampak sesusuk tubuh berpakaian sedang bersandar di sebelah kereta Honda Civic biru mudanya.
“Abang …”
Dia berpusing. Berjalan ke arahku sambil tersenyum. Luqman menghentikan langkahnya apabila dia berdiri betul-betul di hadapanku.
“Congratulations, sayang.” ucap Luqman kepadaku sambil tangan kanannya menghulurkan sejambak bunga mawar merah.
Tersenyum aku melihatnya lantas menyambut hulurannya.
"Terima kasih. Kata ada meeting. Kenapa tak pergi office?" Soalku sedikit merajuk.
Luqman ketawa melihat reaksi isterinya itu.
"Sorrylah sayang. Abang acah je. Today is your special day, for sure I'll be here with you."
Mendengarkan itu, aku mula menghadapnya. Aku merenung jauh ke dalam anak matanya. Lambat-lambat, aku mula mengukirkan senyuman. Biarlah, sekarang Luqman sudah berada di hadapanku.
......................................................................................................... ................
"Fea, abang ada hal nak cakap."
Aku terus mendekati Luqman dan mengambil tempat berhadapan dengannya. Lima minit berlalu namun masih tiada tanda-tanda untuk Luqman berkata-kata. Bosan dengan keadaan itu, aku mula bersuara.
"Apa yang abang nak cakapkan sebenarnya ni?"
Luqman mengangkat muka, memandang wajah ayu yang telah sah menjadi isterinya selama dua bulan itu. Satu keluhan dilepaskannya. Berat hati untuk dia mengatakannya. Namun demi janjinya terhadap Nadyra, dia terpaksa.
"Ni abang dah uruskan semua dokumen yang berkaitan untuk Fea belajar di oversea. Minggu depan Fea akan start belajar." Luqman menjelaskan.
"Cepatnya. Terima kasih, abang." Ucapku lantas memeluk tengkuk Luqman.
Sungguh, aku tidak sedar akan tindakan drastikku yang memeluk Luqman itu. Luqman yang kelihatan terkejut pada mulanya, hanya membiarkan. Dia sendiri kaku.
"Sorry," ujarku setelah aku melepaskan pelukan. Mukaku mula merona merah. Tidak tahu mahu berkata apa, aku hanya menundukkan wajah.Luqman pula, tidak tertahan tawanya dengan tingkah lakuku. 'Fea ... Fea ... Macamlah abang yang mulakan dulu'.
"Fea pergi tidurlah. Esok abang temankan Fea pergi beli barang untuk dibawa ke sana ya," arah Luqman lalu mendekatiku dan menghadiahkan satu kucupan di dahiku.
......................................................................................................... ................
Di lapangan terbang ...
"Jaga diri Dyra di sana nanti. Ingat status Dyra sebagai isteri Iskandar. Jangan lakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah Iskandar sebagai suami. Ingat tu," panjang lebar Maksu memberikan nasihat kepadaku.
Aku hanya tersenyum hambar. Agak terkilan sebenarnya kerana Luqman tidak datang menghantarku. 'Abang lebih pentingkan kerja daripada Fea. Sampai hati abang ...'.
Sedang aku duduk sementara menunggu untuk masuk ke kapal terbang, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi, menandakan satu mesej baru sahaja diterima. Dengan malas, aku menekan butang open.
Sorry tak dpt hantar syg. take care and jgn lupakn abg. -luqman-
SMS yang dihantar oleh Luqman tadi seolah-olah berjaya melenyapkan rasa marahku kepada Luqman. Walaupun tidak dapat bertemu dengannya di saat akhir sebelum berangkat, namun SMS daripada Luqman itu sudah memadai buatku.
......................................................................................................... ................
Di pejabat ...
"Is, aku peliklah dengan kau ni. Kata tak kisah biarkan isteri kau tu pergi sana. Ni entah-entah dia punya flight belum berlepas lagi, kau dah termenung sini, termenung sana. Gila bayang betullah," Zafyr meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada Luqman.
"Fyr, kau ingat senang ke aku buat keputusan ni? Kalau ikutkan hati aku ni, aku nak dia sentiasa ada depan mata aku ni. You know how much I love her, right? Kalau tak, takdelah sampai aku kahwin dengan dia."
Memang Zafyr tahu akan itu. Luqman Iskandar bukanlah seorang lelaki yang taksub dengan harta duniawi. Demi cintanya kepada Nadyralah yang menjadikan dirinya gagah untuk bersetuju dengan wasiat arwah ayah angkatnya. Kepada dialah Luqman meluahkan segala-galanya. Sememangnya tiada rahsia antara mereka berdua. Seketika, mereka berdua diam, melayan perasaan masing-masing. Tiba-tiba, Zafyr menyiku lengan Luqman.
"Apa?" Tanya Luqman.
"Kau tak nak jumpa dia ke? For the last time before she goes there maybe," ujar Zafyr.
Luqman tersenyum sambil menggeleng.
"Kalau aku jumpa dia, aku tak pasti sama ada aku sanggup lepaskan dia pergi atau tak, Fyr. Lagipun, aku dah janji yang perkahwinan kami takkan sekat dia capai cita-cita dia."
"Sabarlah Is. Aku yakin suatu hari nanti dia akan jadi milik kau juga." Tenang Zafyr menasihati sahabat baiknya itu sambil menepuk-nepuk bahu Luqman, tanda memberikan semangat.
Luqman hanya tersenyum mendengarnya. Kemudian, mereka sama-sama bangun untuk menghadiri satu mesyuarat di Putrajaya.
......................................................................................................... ................
Empat tahun kemudian ...
'Bagaimanakah rupanya sekarang?' hati kecilku bertanya. Aku tidak sabar untuk bertemu dengan lelaki itu a.k.a suamiku. Tempoh masa empat tahun yang memisahkan kami betul-betul telah mematangkanku. Selama empat tahun tersebut, hanya pada awal-awal perpisahan sahaja kami berhubung. Dek kerana kesibukan dalam pelajaran, lama-kelamaan aku tidak dapat membalas e-mail dan panggilan daripada Luqman.
Bagi Luqman pula, dia merasakan yang aku telah melupakannya. Walupun perit, namun dia berusaha sedaya upaya untuk terus menghadapinya dengan tenang. Aku adalah cinta pertamanya, malah telah menjadi miliknya yang sah. Bukan mudah untuk Luqman melepaskanku begitu sahaja. Namun, sekiranya perpisahan adalah yang terbaik untuk kami, dia redha.
"Fyr, aku balik awal hari ni."
"Kenapa ni? Kau tak sihat?" tanya Zafyr sambil melekapkan tangan kanannya di dahi Luqman. Risau dirinya sekiranya Luqman tidak sihat. Selama ini, jarang-jarang benar Luqman pulang awal.
"Errr ... Errr ... Sofea balik hari ni," jawab Luqman lalu menarik tangan Zafyr yang masih berada di atas dahinya itu.
"Oh, patutlah dari pagi tadi kau tersenyum je. Nak jumpa isteri rupanya."
Dalam diam, Zafyr kagum akan Luqman kerana dia tidak pernah mengeluh akan hal rumah tangganya. Dia setia menunggu Nadyra menerima cintanya. Kalau diikutkan, masih banyak lagi gadis-gadis yang menaruh harapan pada Luqman. Namun, tidak pernah dilayannya.
"Aku bukan apa, maksu aku kan ada kat rumah tu. So, apa pulak dia kata nanti kalau aku tak sambut kepulangan Sofea. Lagipun, Sofea kan isteri aku," Luqman menjelaskan.
"Ya, Is. Aku faham. Lagipun, memang adatlah suami menyambut kepulangan isterinya. Apalah kau ni. Hah ... Kan tak pasal-pasal kena ceramah free dengan aku."
"Kau memang. Kalau sehari tak membebel, tak sah kan? Dah lah, aku balik dulu."
......................................................................................................... ................
Di rumah ...
Enjin kereta sudah dimatikan. Walau bagaimanapun, Luqman teragak-agak untuk keluar. 'Macam mana reaksi Fea bila jumpa abang agaknya? Fea, abang rindu sangat kat sayang.' Luqman bermonolog. Lambat-lambat, dia membuka pintu kereta. Briefcase dipegangnya dengan tangan kiri manakala coatnya di sebelah kanan. Elok sahaja dia membuka pintu rumah, tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu yang melayang mengenai dahinya.
"Aduh!" kata Luqman lalu meraba-raba dahinya.
"Abang, sorry! Tak sengaja. Fea tengah main dengan Adam tadi. Tak tahu pulak yang ..." tidak sempat aku menghabiskan ayat, Luqman menarikku ke dalam dakapan. Aku yang terkejut, lambat-lambat membalas pelukannya.
"Dyra, Iskandar, kalau ya pun bersihkanlah luka tu dulu. Maksu taulah dah lama kamu tak berjumpa," tegur maksu dari dapur.
Aku dan Luqman yang baru tersedar, terus melepaskan pelukan. Aku berpaling daripada menghadap Luqman. Malu!
Melihatkan jelingan maksu, aku cepat-cepat menarik tangan Luqman dan membawanya ke ruang tamu. Aku meninggalkannya seketika untuk mengambil first aid di dapur. Aku kembali semula dan duduk di sebelah Luqman. Aku melihatnya yang sedang tersenyum, "Tak sakit ke?"
"Memang sakit tapi lepas nampak isteri abang yang comel ni, terus baik." ucap Luqman sambil mencuit hujung hidung isterinya.
"Abang!" jeritku kepadanya. Namun, aku segera menekup mulut. Bimbang didengari maksu.
"Fea nak cuci luka abang ni." kataku lalu mendekati Luqman.
Aku menyelak sedikit juntaian rambut Luqman di dahi. 'Nasib baik tak teruk.' Aku mengelap kesan darah yang keluar dengan kapas basah. Sesekali, terdengar Luqman mengerang kesakitan. Melihatkan keadaan itu, aku cepat-cepat meniup tempat luka Luqman, seakan-akan dapat mengurangkan kesakitan yang dirasai.
Dalam masa yang sama, Luqman tidak lepas daripada memandang isterinya dari jarak yang dekat. Pada pengamatannya, Nadyra sedikit berubah kini. Mukanya nampak lebih matang. Paling penting, Nadyra kelihatan lebih cantik dan menawan di pandangan matanya. Luqman akui, Nadyra bukan lagi seorang gadis remaja yang memerlukan penjagaannya lagi.
"Okay, dah siap. Abang ..."
Diam.
"Abang ... Abang ... Mengelamun pulak," ujarku seraya melayangkan tangan kanannya di hadapan Luqman.
"Hah ... Fea cakap apa tadi?"
"Fea cakap, CEO yang busy macam abang ni pun sempat mengelamun. Ingat siapalah agaknya," kataku sambil mengemaskan kembali first aid yang diambil tadi.
"Ingat siapa lagi, mestilah isteri abang ni. Orang tu je entah ingat entah tak kat suami dia ni." Lirih kedengaran suara Luqman menuturkan kata-katanya itu.
Lima minit berlalu. Tiada tanda-tanda aku mahu membalas kata-katanya. Luqman kecewa sendiri. Lalu dengan lemah, dia bangun dan menuju ke tingkat atas untuk membersihkan dirinya. 'Izinkan abang terus mencintai sayang.'
Aku terharu dengan kata-kata Luqman sebenarnya. Namun, aku tidak tahu untuk membalas apa. Aku sendiri tidak pasti sama ada Luqman mengahwini aku kerana cinta atau hanya sekadar ingin mengelakkan syarikat arwah papa jatuh ke tangan pihak lain. Untuk bertanyakan hal itu kepada Luqman, aku sendiri malu. Untuk meluahkan perasaan kepada Luqman pula, aku takut. Bagaimana sekiranya Luqman langsung tidak mempunyai rasa yang sama denganku? Oleh sebab itu, aku hanya mendiamkan diri.
......................................................................................................... ................
Malam menjelma ...
Aku sibuk mengeluarkan souvenir yang dibeli di United Kingdom untuk diberikan kepada maksu dan Adam. Tidak ketinggalan dibelikan seutas jam tangan berjenama Fossil untuk diberikan kepada suamiku yang tercinta.
"Abang suka hadiah Fea untuk abang? Fea tak tau nak belikan apa untuk abang. Fea harap abang suka dengan hadiah tu," terangku ketika kami sudah berada dalam bilik utama.
"Suka sangat-sangat, sayang. Apa-apa pun daripada Fea akan jadi sesuatu yang istimewa pada abang." Luqman berkata sambil tangannya menggenggam erat jemariku.
Aku hanya membiarkan. Aku tersenyum kepada suamiku. 'Fea sayang abang.' Detik hatiku.
"Terima kasih, abang. Abang tidurlah. Esok abang kerja, kan." Usai berkata-kata, aku lantas mengambil bantal milikku.
"Fea nak pergi mana?"
"Abang tidurlah, Fea tak nak kacau. Fea tidur kat situ," aku menunjukkan ke arah sofa yang terdapat di salah satu penjuru bilik tidur.
Baru aku ingin berlalu, pantas Luqman menghalang. Pergelangan tanganku dipegangnya.
"Kenapa? Tak sudi tidur dengan abang?"
"Bukan macam tu. Fea ..."
"No, I won't allow you. As long as you're my wife, I want you to sleep beside me, no matter what happen. Full stop!" Kan dah keluar arahan mandatori Luqman Iskandar.
Aku hanya diam. Bergenang air mataku. 'Papa tak pernah tengking-tengking aku.' Tidak jadi untuk aku meneruskan niat. Aku meletakkan kembali bantalku di atas katil.
Terdengar Luqman melepaskan keluhan. Mungkin serba salah kerana telah meninggikan suaranya kepadaku tadi. Luqman kembali mendekati aku.
"Abang minta maaf, Fea. Abang tak berniat nak berkasar dengan Fea. Kan abang dah janji dulu, nothing will happen without your permission," ucap Luqman.
Sebenarnya Luqman tidak mahu Nadyra lebih jauh daripadanya. Dia bertekad setelah Nadyra pulang, dia akan berusaha untuk memikat hati isterinya itu. Dulu, mungkin susah untuk dia berbuat demikian kerana isterinya masih mentah lagi. Namun, sekarang dia yakin Nadyra sudah mampu untuk menilai cintanya.
Dia mengucup dahiku lama. Kemudian, dia membaringkan aku di sebelahnya dan ditarik selimut sehingga ke paras dada. Selesai itu, Luqman menutup lampu lantas turut berbaring di sebelahku. Badannya mengiring merenung isteri tercinta. Entah pukul berapa barulah Luqman tertidur.
......................................................................................................... ................
"Luqman, I tak sangka akan jumpa you kat sini. Nampaknya you dah jadi CEO sekarang. You apa cerita?" luah seorang gadis tinggi lampai dengan bersemangat sekali.
Matanya masih tidak lepas daripada memandang Luqman dari atas ke bawah. Natasha Irdina Dato Naim atau lebih dikenali dengan nama Tasha yang telah menjadi rakan seuniversiti Luqmn dan sememangnya pernah mempunyai rasa terhadap Luqman. Walau bagaimanapun, Luqman tidak pernah memberikan apa-apa harapan kepadanya.
"Well, macam yang you tengok sekarang la."
"Berseri-seri muka. Mesti tengah bahagia sekarang ni, kan," usik Tasha sambil meletakkan tangan kanannya di bahu Luqman.
Belum sempat Luqman mengelak, tiba-tba pintu dikuak dari luar. Mereke berdua terus memandang ke arah pintu tersebut.
"Abang, sorry. Fea tak tau abang ada guest," terangku tanpa dipinta.
Luluh hatiku tatkala pintu baruku pulas, kelihatan Luqman sedang bermesra dengan gadis lain. 'Eh, takdelah bermesra. Perempuan tu yang pegang bahu abang. Tapi ... abang salah juga. Perepmpuan tu bukan isteri abang, tapi abang benarkan dia pegang abang. Fea ni isteri abang pun tak pernah buat macam tu.'
"Hai ... Sofea Nadyra kan? Adik Luqman?" ramah Tasha bertanya kepadaku sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
"Aaa ..."
"Dulu adik I. Sekarang ... dah jadi isteri yang sangat-sangat I cinta," terang Luqman sambil menarikku dekat menghampirinya.
Aku tidak dapat berbuat apa-apa, hanya menuruti. Dalam hati, sedikit terubat jiwaku. Aku tidak menyangkakan Luqman akan berterus-terang kepada Tasha. Mungkin tidak mahu aku lebih marah dengannya, lalu Luqman mengambil tindakan tersebut.
"You dah kahwin, Luqman? What a surprise. No wonderlah you tinggalkan I. By the way, congratulations to you, Nadyra," selamba Tasha menuturkannya.
"Err ... thank you. Who are you?" Aku tidak boleh berdiam diri. Siapakah perempuan ini? Aku langsung tidak pernah tahu akan kewujudannya selama ini.
"Sayang, jom kita pergi lunch. Abang dah lapar ni. Tasha, I'll contact you later," usul Luqman lalu menarik Tasha keluar dari biliknya.
Setelah Tasha keluar, Luqman kembali menutup pintu bilik. Aku tidak berkata apa-apa, hanya menunggu Luqman untuk memberikan penjelasan.
"Jom," ajak Luqman ingin keluar dari bilik.
"Tak. Fea nakkan penjelasan daripada abang," aku meluahkan lalu memandangnya.
Luqman yang sedang berjalan, menghentikan langkah. Dia berpusing dan menghadapku. Beberapa minit berlalu begitu sahaja. Namun, Luqman tetap tidak bersuara.
"Who is Tasha?" Aku bertanya lagi.
"Tasha ... kawan abang masa di universiti dulu. Dia pernah luahkan perasaan pada abang. Tapi abang tak terima."
"Tipu. Tadi Tasha cakap, abang yang tinggalkan dia." Aku tidak mahu mengalah.
"Look, sayang. Abang tak tau apa motif Tasha cakap macam tu. Tapi percayalah, abang memang tak pernah bersama dengan dia. And ... Fea nak tau kenapa?" panjang lebar Luqman menjelaskan sambil kedua-dua tangannya memegang bahuku.
"Because I'm in love with you. I love you very much. Abang sayangkan Fea ... cintakan Fea."
Tidak dapatku tahan, akhirnya kolam air mataku pecah jua. Tanpa dipaksa, aku memeluk erat tubuh Luqman. Luqman yang pada awalnya kaku berdiri, turut memeluk isterinya. Tidakku sangka, rupa-rupanya Luqman mencintaiku, sepertimana aku mencintainya.
"Abang ... I ... I ... love you too," ucapku malu ketika kami masih lagi berpelukan.
Luqman yang seakan-akan terkejut, terus melepaskan pelukan. "Betulkah, sayang?"
Aku yang merasakan terlalu gembira, hanya mengangguk beberapa kali. Kemudian, aku mendengar Luqman mengucapkan syukur kepada Yang Maha Esa. Aku turut melakukan perkara yang sama.
......................................................................................................... ................
Akhirnya ...
"Abang, Fea nak tanya sikit boleh tak?" soalku ketika kami sedang menikmati saat-saat matahari terbenam.
"Apa dia, sayang?"
"Bila abang jatuh cinta dengan Fea, ya?" Sebenarnya sudah lama aku ingin mengetahui tentang itu. Baru kini berpeluang untuk bertanya.
"Dah lama, sayang. Selama ni pun, abang tak pernah anggap Fea sebagai adik abang. Fea tau tak ... Abang suka bila Fea suka merajuk dengan abang, menangis dekat bahu abang masa Fea sedih, marah abang bila abang jarang-jarang luangkan masa dengan sayang. Dulu masa kecil, Fea manja sangat dengan abang. Tapi, masa abang sakit, Fea sanggup tak pergi sekolah semata-mata untuk jaga abang. Thanks sayang, abang terharu sangat-sangat. Masa tu, abang dah yakin yang abang dah jatuh cinta kat sayang. Tapi abang sendiri tak tau macam mana nak luahkan pada sayang, sampailah Encik Ahmad beritahu tentang wasiat arwah papa," panjang lebar Luqman meluahkan perasaannya.
Rupa-rupanya sudah bertahun lamanya dia menyimpan perasaan kepadaku. Sememangnya aku tidak pernah terfikir akan itu. Aku beranggapan dia bersikap baik denganku kerana menganggapku seperti adiknya. Walau bagaimanapun, aku lega kerana aku dicintai oleh seorang lelaki yang sangat baik orangnya.
"Fea pula, bila mula sayangkan abang?" Giliran Luqman pula bertanyakan hal yang sama kepadaku.
Aku tersenyum kepadanya sambil melentokkan kepalaku di bahunya. Udara yang segar dan nyaman pada petang itu amat mendamaikan jiwaku. Lambat-lambat, aku tutup mata dan membukanya perlahan-lahan.
"Ermm ... Masa dekat UK rasanya. Mula-mula, abang selalu hantar e-mail, SMS, gambar, dan macam-macamlah. Lama-kelamaan, semua tu dah takde. Bila abang dah tak buat macam tu, Fea rasa sunyi sangat. Fea cuba keluar dengan kawan-kawan, tapi perasaan sunyi tu tetap ada. Fea buat solat istikharah. Lepas tu, Fea mimpikan abang. Then only I know that I love you, my own husband." Tenang aku meluahkan segala yang tersimpan utuh di hatiku selama ini.
Kemudian, Luqman menggenggam jari-jemariku dan membawanya ke dada.
"Selagi jantung abang berdegup, izinkan abang mencintai sayang," dengan nada yang cukup romantis, Luqman menuturkannya.
Aku yang mendengar, hanya dapat memandangnya dengan penuh rasa terharu. Tiada kata yang dapat untukku ungkapkan kepadanya. Seketika, kami hanya berdiam diri, merenung ke arah sang matahari yang mahu melabuhkan tirai. Memang impianku untuk menyaksikannya bersama insan yang aku cintai. Ternyata, kini aku dapat menyaksikannya bersama seorang lelaki yang sudah berada di sisiku sejak aku masih kecil lagi. Hanya dalam hati, aku memohon agar perkahwinan kami ini berkekalan selagi hayat dikandung badan. Amin ...
p/s: So, macam mana ? Terhibur tak dengan cerita ni ? Hehe~~~ Apa-2 pun, TERIMA KASIH kat korang sebab sudi luangkan masa untuk baca. Aku sangat hargainya ...
No comments:
Post a Comment